Membentuk dan Membuat Binaan

PENGENALAN
Membentuk dan Membuat Binaan adalah satu bidang yang terdapat dalam Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual KBSR. Bidang ini mengandungi aktiviti untuk menghasilkan karya berbentuk tiga dimensi. Anda juga dapat memilih alat dan bahan yang sesuai mengikut aktiviti yang dipilih. Daripada aktiviti membentuk dan membuat binaan ini anda dapat menghasilkan pelbagai jenis kraf.


JENIS AKTIVITI MEMBENTUK DAN MEMBUAT BINAAN
Terdapat beberapa aktiviti dan teknik untuk menghasilkan karya dalam bidang Membentuk dan Membuat Binaan adalah seperti arca timbul, arca mobail, arca stabail, asemblaj, model, diorama, boneka, topeng dan origami.

Bidang kegiatan membentuk dan membuat binaan tiga dimensi merangkumi aktiviti seperti:
1. Arca timbul
2. Asemblaj
3. Mobail
4. Stabail
5. Model
6. Diorama
7. Boneka
8. Topeng
9. Origami
Untuk setiap aktiviti, anda perlu menggunakan tema yang sesuai dengan peringkat perkembangan murid. Sekiranya dirancang dengan rapi, murid dapat melibatkan kemahiran berfikir dan kemahiran menyelesaikan masalah dalam proses penghasilan. Selain daripada menggalakkan minat, imaginasi dan kreativiti kanak-kanak, anda perlu fikirkan bagaimana tema tersebut dapat dikaitkan dengan peringkat perkembangan kanak-kanak

TEKNIK MEMBENTUK DAN MEMBUAT BINAAN
Terdapat pelbagai teknik yang boleh digunakan untuk menghasilkan bentuk atau membuat binaan. Antaranya ialah melalui teknik picitan, lipatan, potongan, cantuman, pembungkusan, guntingan, luakan dan sebagainya. Biasanya teknik-teknik tersebut dipilih berdasarkan kesesuaian bahan yang digunakan.
 - Teknik Picitan
 - Teknik Lipatan
 - Teknik Potongan
 - Teknik Cantuman
 - Teknik Pembungkusan
 - Teknik Guntingan
 - Teknik Luakan

ALAT DAN BAHAN
Penggunaan alat dan bahan yang sesuai diperlukan dalam proses penghasilan karya Membentuk dan Membuat Binaan. Anda boleh menggunakan pelbagai alat dan bahan seperti tanah liat, plastersin, kertas tumbuk, serbuk papan, kertas yang sesuai untuk origami, kayu, tanah liat, sabun dan sebagainya. Pilihlah alat dan bahan yang sesuai mengikut tajuk dan aktiviti.

Arca Timbul
Bentuk tiga dimensi yang tersembul keluar dari permukaan dua dimensi yang rata atau dipahat keluar yang akhirnya menonjolkan objek ke permukaan. Ia boleh dihasilkan secara acuan, tampalan, binaan atau asemblaj.


Arca Mobail
Bahagian-bahagian dicantum untuk membentuk satu kesatuan. Digantung untuk menjadikan objek bergerak, berputar atau berombak. Teknik yang biasa digunakan untuk menghasilkan arca mobail adalah kimpalan, gam, skru dan lipatan.


Arca Stabail
Bahan kutipan dicantumkan untuk membentuk satu kesatuan objek dan dipasang tapak yang stabail. Teknik yang bersesuaian untuk menghasilkan arca ini adalah kimpalan, skru, ikatan, acuan atau binaan.



Assemblaj
Bahagian atau komponen yang berlainan yang dicantumkan menjadi satu kesatuan objek membentuk satu konsep yang bermakna. Teknik penghasilannya adalah kimpalan, binaan, cantuman skru/paku atau gam.

Model
Bentuk yang digubah untuk tujuan membuat sesuatu objek konkrit. Contohnya model buah-buahan. Antara teknik yang digunakan adalah gam, kimpalan, skru dan acuan


Diorama
Gubahan himpunan objek konkrit yang bertemakan sesuatu cerita, maklumat, fenomena atau peristiwa. Teknik yang lazimnya digunakan dalam penghasilan diorama adalah cantuman, gam dan kimpalan.

.
Boneka
Model yang mewatakkan figura manusia, binatang, buah-buahan, serangga dan lain-lain. Teknik untuk penghasilan boneka adalah jalitan, gam, kimpalan dan skru.


Topeng
Mewatakkan semula imej manusia, binatang, atau unggas dalam konteks menampilkan semula kerangka yang boleh dipakai atau diserkup. Teknik yang digunakan adalah gam, cantuman atau kimpalan.

Terdapat 3 jenis topeng iaitu:
 
1. Topeng muka


2. Topeng mata


3. Topeng serkup 

Origami
Objek konkrit yang dibentuk melalui lipatan atau konsep topologi. Teknik yang digunakan adalah teknik lipatan.

5 comments: